Ustaz Shahrizan Atturabi - TV Alhijrah - 17 Sept 2012 - Sedekah menyuburkan harta dan rezeki di dunia dan mendapat pahala di akhirat




Ustaz Shahrizan Atturabi - TV Alhijrah - 17 Sept 2012:Surau Nurul Iman


Tidur adalah mati kecil. Sekuat-kuat manusia atau sejahat-jahat manusia tetap mengalami tidur. Lihatlah wajah manusia ketika tidur. Wajah ketika tidur tidak boleh dibuat-buat kerana ia menunjukkan raut yang sebenar. Sesungguhnya Allah mengetahui hati setiap manusia dan setiap sesuatu. Bagaimanakah cara untuk mencari kekayaan di dunia dan dapat membawa kekayaan itu ke akhirat. Ada orang yang kaya bertambah kaya kerana infaq. Ada juga orang kaya yang bertambah kaya kerana sebaliknya, tetapi kita janganlah ikut teladan tersebut. Perbanyakkanlah bersedekah dan sedekahlah dalam bentuk apa-apa jua sekalipun dan berilah kepada sesiapa sahaja yang memerlukan. 

Zakat pula adalah harta-harta tertentu mengikut syarat waktu dan kepada orang-orang yang tertentu. Hibah (Hadiah)  itupun ada juga habuannya di akhirat kelak. Hanya rasuah yang apabila kita beri kita akan dilaknat di dunia dan akan dimasukkan ke neraka di akhirat kelak. Memang benar janji Allah bahawa sedekah itu menyuburkan harta kecuali kepada orang-orang yang tidak yakin. Berapa ramaikah orang fakir yang bertambah kufur. 

Sesungguhnya kelebihan sedekah itu benar-benar dapat dilihat di dalam dunia ini dan dapat juga ganjaran di akhirat kelak. Sedangkan di dunia lagi Allah dah bagi balasan baik, apalagi di akhirat. Allah bagi ganjaran sedekah di dunia bukan setakat sepuluh kali ganda malah lebih dari itu. Adapun bentuk balasan yang Allah beri itu tidak semestinya dengan wang tetapi dengan pelbagai bentuk dan jenis rezeki.

Allah memberi balasan keuntungan sedekah di dunia ini dalam berbagai cara, contohnya minyak kereta tak habis-habis ataupun kereta tidak pernah rosak. Sebaliknya contoh bahaya kedekut pula ialah minyak kereta cepat sangat habis dan kereta selalu sangat mengalami kerosakan. Begitulah seumpamanya.

Taktik bersedekah itu pula terdapat di dalam pelbagai kaedah dan balasan pahala pula berkadar sama ada sekali dapat atau berterusan pahalanya. Ada sedekah berupa wakaf, ada sedekah berupa belanja makan minum.  Sedekah untuk minta dibalas adalah rasuah. Rasuah itu membawa dosa dan kerugian yang berbeza.  Orang yang bijak akan  pandai mencari kaedah yang terbaik untuk mendapatkan pahala seperti memberi makan kepada orang yang berpuasa, bersedekah jariah atau mewakafkan harta untuk kegunaan berunsur ibadat atau kebajikan. Maka perbanyakkanlah sedekah jariah. 

Disyorkan supaya perbanyakkan sedekah/infaq ke tempat-tempat yang harta itu kekal seperti membina tiang surau, tiang masjid atau sebahagian dari membina bangunan sekolah tahfiz. Ada lagi cara yang lebigh baik iaitu sedekah secara tersembunyi. Tetapi kalau menunjuk-nunjuk sedekah untuk niat mengajak orang bersedekah seperti dirinya itu adalah satu kebaikan. Bersedekah kemudian tunjukkan kepada jemaah atau orang yang melihat untuk menggalakkan mereka turut bersedekah.

Kalau seseorang bersedekah sesisir atau setandan pisang di masjid, kemudian ada orang lain mengikut bersedekah sepertinya, maka orang yang mula-mula bersedekah pisang itu pun turut mendapat ganjaran pahala sepertimana orang kedua yang bersedekah pisang di masjid tersebut walaupun pada masa itu orang yang pertama tadi tidak bersedekah lagi, kerana beliau telah memberi idea atau inspirasi atau pelupor untuk bersedekah kepada orang lain. Ini adalah sedekah menunjuk-nunjuk yang dituntut. Yakinlah pada diri kita bahawa kita tidak riak, walaupun riak itu terlalu halus.

Kalau  sembunyikan sedekah untuk elak riak atau nak elak penerima dari merasa malu maka lebih banyaklah pahalanya. Tetapi kalau kita mengungkit-ungkit sedekah atau menyebut-nyebut sedekah kita tersebut untuk menunjukkan kepada orang maka malaikat akan padam pahala sedekah itu.Sebaliknya jika kita mengungkit untuk menyedarkan dan memberi insaf kepada penerima sedekah tersebut atau untuk mendidik  maka ianya dibolehkan. Kalau kita hendak memberi kesedaran contohnya " dimanakah duit tabung yang kami sedekhakan selama ini, sudahkah dibelanjakan seperti yang dijanjikan?" 

Janganlah mengungkit semata untuk menunjukkan yang kita ni baik kepada orang atau menunjuk-nunjuk kepada teman wanita atau sebagainya kerana ia akan menghilangkan pahala kita.

Allah kata lebih baik kamu menyebutkan perkataan yang baik-baik kepada peminta sedekah jika tidak memberi sedekah, tetapi kamu memberi sedekah tetapi diiringi dengan kata nista. Petua kepada pengembara: jika pergi ke negeri tertentu yang banyak peminta sedekah seperti Indonesia atau Palestin dan sebagainya jangan sewenang-wenangnya memberi sedekah kerana mereka membawa "geng". Kalau kita beri sedekah kemudian akan datang kawan-kawan yang lain untuk turut meminta kepada kita secara paksa.



No comments:

Post a Comment